Sinaran Suasa

Hari ini aku menjadi lebih dewasa
tentang maknawi insan dan kemanusiaan
antara teman dan kawan
adalah laba
adalah tempawan.
 
Bertambah sayup sekeping hati
menyaksikan lelakon di wajah bistari
dalam saat yang terlalu parah ini.
 
Pun pada waktu semerah ini
aku masih mencari maknawi itu
sebutir kasih seorang sahabat
dan setitik air tercetus di mata
itulah yang ku temui.
 
Dunia
dadamu terlalu tepu sinaran suasa
pudarnya melecurkan makna persahabatan
kerana harganya kini laba dan tempawan
tiada lagi jebat yang merelakan nyawanya
demi Tuhan yang terlalu setia.
 
TAJUDDIN SAMAN
Jitra, 21 Jun 1996