Oleh Tajuddin M. Saman (2007)
Pendidikan
Sekolah Rendah
Sekolah Tinggi
Kursus Penulisan di Singapura
Pekerjaan
Sekitar 1990...
Saya
 boleh dikatakan tidak berpelajaran langsung semasa menjadi seorang 
pemberita. Saya masuk bekerja dengan "tangan kosong". Bekalan pelajaran 
saya suatu ketika dulu cuma sijil kegagalan sahaja. Masa awal dulu, 
banyak gagal daripada berjaya. Dalam pelajaran, saya cuma ada sijil 
Senior Cambridge (O-Level) yang gagal saja.
Pendidikan
Sekolah Rendah
Saya
 mengikut seorang anak saudara masuk ke Remove Class di Sekolah Tengku 
Bendahara di Jalan Changloon, Kodiang. Sepatutnya, ketika itu, saya 
menduduki peperiksaan ke English Medium School. Bapa saya meninggal 
ketika itu. Saya baru berusia 10 tahun. Saya mula berbicara dengan hati 
sendiri. Bapa saya sudah meninggal dunia langsung tidak meninggalkan 
pesanan. Ke mana saya akan pergi? Mahu tidak mahu, saya terpaksa tinggal
 dengan abang-abang saya, Hassan dan Hussain. Mereka berdua sudah 
berkahwin dan berkeluarga sendiri. Ibu tiri saya, Ku Chik pun terasa 
sedih melihat keadaan saya. Fasa kehidupan ini menyebabkan saya mula 
banyak berfikir mengenai kehidupan ini.
Sejak
 saat itu, kawan-kawan sekampung saya, seorang demi seorang berpindah ke
 sekolah di merata-rata... Ada yang sudah sampai ke Ipoh bersekolah di 
sana. Saya terus berada di Kodiang... Hari-hari mengayuh basikal yang 
dibeli oleh kakak ketiga saya, Aishah. Kakak saya itu kemudian 
memindahkan saya ke Alor Setar dan saya ditumpangkan di rumah kakak 
sepupu, Fatimah di Lorong Pahlawan.
Di 
 Alor Setar, saya bersekolah di St. Michael School. Encik Ayob pernah 
memuji karangan tulisan saya. Isi karangan yang saya sudah lupa tajuknya
 itu saya petik dari majalah Mastika (ketika itu bertulisan Jawi). Cikgu
 Zainalabidin pun turut berkata kepada saya, "Suatu hari nanti awak akan
 menjadi seorang penulis". Ramai rakan di St. Michael berminat dengan 
penulisan. Kami selalu berbincang mengenai sajak, cerpen, dan novel. 
Ketika itu, cerpen Shahnon Ahmad berjudul "Anjing-Anjing" diterbitkan. 
Saya sering membelek-belek buku di kedai buku di Alor Setar. Pekedai 
buku bernama Pak Non pun sering ke rumah tumpangan saya di Lorong 
Pahlawan itu. 
Pada
 awal-awal dulu, seorang sepupu sebelah ibu saya, Muhammad Akhir Zakaria
 sering menghantar tulisan ke akhbar Utusan Melayu tetapi beliau 
menggunakan nama saya. Saya tidak simpan tulisan-tulisan tersebut. 
Lama-lama saya fed-up baca Berita Harian, jadi saya beralih ke Utusan 
Melayu. Ketika tahun 60-an dulu, majalah berbahasa Melayu seperti Dian 
dan Mastika agak terkenal.  Umur saya ketika itu baru 11 tahun.
Detik di St. Michael itu merupakan detik permulaan hidup saya sebagai seorang penulis dan pemberita...
Sekolah Tinggi
Saya
 tinggal di Alor Setar selama tiga tahun. Kakak saya, Aishah, berpindah 
lagi. Beliau seorang jururawat kerajaan. Beliau menyuruh saya berpindah 
ke Singapura untuk tinggal bersama keluarga kakak sulung saya, Hawa. Di 
sana, saya cuma nampak rumah pangsa (flat) saja. Di sana dan di sini 
flat belaka. Saya mula mengasah bakat diri sendiri di Singapura. Di 
samping itu, saya turut membaca buku-buku berbahasa Melayu dan bahasa 
Indonesia.
Saya
 masih ingat lagi, saya pernah meminjam sebuah buku berjudul 
"Journalism" di perpustakaan sekolah. Saya membacanya sehingga tamat. 
Saya kurang memahami perkataan bahasa Inggeris dalam buku tersebut 
tetapi segala pujian hanya untuk-Nya. Saya boleh memahami teks tersebut 
dengan baik. Buku tersebut memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi 
seorang wartawan.
Saya
 berkenalan dengan ramai orang di Singapura. Saya menyertai Persatuan 
Penulis Singapura. Ia diterajui oleh En. Hamzah. Saya memperolehi banyak
 ilmu semasa di Singapura seperti ilmu penulisan. Saya turut menerima 
anugerah pemidato di Singapura. Hadiah saya ditandatangani sendiri oleh 
En. Othman Wok. En. Othman Wok merupakan bekas Menteri Kebajikan di 
Singapura. Pada tahun 1960-an dulu, beliau pernah menjadi wartawan di 
Utusan Melayu. Beliau popular dengan cerita hantu. Saya turut menerima 
hadiah di sekolah untuk minggu bahasa Melayu. Ia sebuah buku novel 
berjudul "Pariah".
Saya
 bersekolah di Singapura di sekolah Inggeris, Sacred Heart Boys' School.
 Selepas itu masuk ke Queen's Ways School. Saya menduduki peperiksaan 
pertama kali di Queen's Ways School, Singapura. Keputusan saya gagal!
Kemudian,
 saya pulang ke negeri Kedah lalu menduduki peperiksaan sekali lagi. 
Saya terus gagal! Saya tidak berputus asa cuba menduduki peperiksaan 
Senior Cambridge (O-Level) dari 1966 sehingga 1970. Pada 1970, ketika 
bertugas sebagai anggota polis barulah saya berjaya lulus peperiksaan. 
Saya lulus cukup makan saja, gred tiga. Saya menduduki pula peperiksaan 
Sijil Tinggi Persekolahan selepas itu. Empat tahun berturut-turut saya 
gagal peperiksaan. Saya masuk ke sekolah kerajaan untuk menduduki 
peperiksaan Senior Cambridge. 
Kursus Penulisan di Singapura
Di
 Alor Setar, saya pernah menjadi pemandu teksi, menjaja belacan Tanjung 
Dawai di pejabat-pejabat di Alor Setar, menjual ikan sehingga ke Kuala 
Nerang bersama rakan-rakan di nat (pasar).
Sejak
 pulang ke Kedah pun, saya sering berulang alik ke Singapura. Suatu 
ketika, saya sempat menyertai sebuah bengkel penulisan di Singapura 
selama enam bulan. Ia merupakan bengkel anjuran En. Za'aba dari Utusan 
Melayu. Beliau bersama Yusof Ishak (kemudian Presiden Singapura, 
1965-1970) merupakan pengasas bersama Utusan Melayu pada 1946. Kursus 
tersebut berlangsung selama enam bulan di sebelah malam, jadi saya 
bekerja sambilan di siang hari menghantar akhbar ke rumah orang di 
Queensways untuk seorang mamak (India Muslim). Mamak itu pemurah. Beliau
 beri upah $40 sebulan kepada saya. Saya pun boleh makan apa saja di 
kedai di situ. Sebagai penghantar akhbar, saya menghadapi pelanggan yang
 mahu akhbar sampai awal di rumah mereka. Jika lewat, mereka akan 
menghantarnya semula kepada pembekal. Sijil dari En. Za'aba sangat 
berharga buat saya. Semasa di Kuala Lumpur, saya pernah bertemu 
dengannya semula. Malangnya beliau tidak ingat saya. Beliau cuma 
menyebut berulang kali, "Budak dari Kedah berkursus dengan saya di 
Singapura".
Semasa
 berkursus enam bulan di Singapura, saya bertemu dengan ramai kawan dari
 selatan... Termasuk dari Johor. Antara mereka termasuklah saudara 
Magier Simen dari Berita Harian di Singapura. Semua pun terus berkawan 
dengannya sehingga ke akhir hayatnya. Semasa menyertai Berita Harian di 
Kuala Lumpur (KL) pada 1970-an dulu, saya sudah pun kenal beberapa rakan
 sekerja dari selatan, seperti Muhammad Noh Atan (semoga dirahmati-Nya) 
dari Johor.
Pekerjaan
Saya
 bekerja di Berita Harian kemudiannya. Saya ambil berita dari "stringer"
 atau pemberita sambilan. Saya bertugas di Johor. Oleh itu, saya kenal 
stringer seperti Hamid Badol dan  Ayob Naim. Saya menolong mereka sebab 
kasihan. Mereka bersusah payah mencari berita, tetapi tiba di pejabat 
pula, berita ditolak. 
Kini,
 sudah tidak ramai stringer lagi seperti tahun 1960-an. Di Kedah dulu, 
ada juga stringer seperti Halim Bakar. Pada 1960-an, beliau menulis 
untuk Berita Harian dan Utusan Melayu. Kemudian beliau bertugas menjadi 
pemberita Utusan Melayu di meja belia. Kemudian menjadi Pengarah Pusat 
Belia Dusun Tua. Beliau berpencen dan masih berhubung dengan saya 
sehingga beliau meninggal dunia.
Kakak
 saya sering menghantar akhbar Warta Negara yang menyiarkan hasil 
tulisan saya. Beberapa cerpen dari situ pun turut saya muatkan dalam 
buku saya berjudul "Bingkisan Sutera Biru" (DBP, 2002). Saya mendapat 
banyak bimbingan penulisan dari Warta Negara. Saya belajar penulisan 
sepintas lalu dari situ dan boleh memajukan diri saya dalam bidang 
penulisan.
Pada
 1960-an dan 1970-an pun ramai tokoh muncul untuk memberi bimbingan 
kewartawanan. Saya asyik bertemu dengan "kaki pekena" orang saja. 
Institut-institut yang mereka buka contohnya seperti Institut 
Kewartawanan Melayu Raya digunakan untuk memperdaya orang-orang kampung 
seperti saya. Syukurlah saya melalui semua ini dengan tabah. Cerita ini 
cuma untuk peringatan saja. Kini ilmu kewartawanan sudah pun diajar di 
universiti-universiti dan di jabatan sebaran am (mass-communication). 
Jadi, orang ramai sudah berpeluang untuk belajar dengan baik. 
Sebenarnya,
 dengan kelulusan saya di peringkat awal dulu, saya tidak pernah 
bermimpi pun akan menjadi seorang wartawan. Saya tidak pernah mempunyai 
sijil pun sebelum itu, dan selalu gagal peperiksaan.
Sekitar 1990...
Suatu
 hari, saya menangis teresak-esak di sebelah Aziz Desa. Saya tidak sedar
 pun ketika itu. Saya cuma menangis selepas diberitahu oleh beliau yang 
saya terpilih menjadi salah seorang pemenang anugerah Kajai. Saya terasa
 bahawa dunia ini ibarat lautan dalam. Jika ingin menjadi wartawan, kita
 pun boleh menjadi wartawan yang berjaya.
