Pak

Ku kira-kira
berapa hari sahaja
tanganmu menepuk kepala
hatimu mengusap dada
sayangmu mentari di ubun
dan bapaku
hari itu kenangan beralun.

Pak
aku kesalkan sendiri
hari-hari yang sedikit
aku adalah harimau kerdil
tiada embun rimbun
kau tak pernah damai
pun masih kasihmu
mentari sejengkal

Di tengah rembang ini
amat sayup berdiri sendiri
dunia ombak-ombak laut
aku setia jadi penunggu
masa lalu.

Kau tinggalkan aku, pak
tak siapa menatih jalanku
besarlah sendiri
sedang ibu menangis gembira
bertemu kau di sana
dan tidakkah aku ditanya
tidakkah bualkan setan kecilku.

Pak
aku tidak pernah mengharap
menjadi anak pusaka raya
mimpiku berlalu
kau beruban di laman rumahku
dan aku mati di matamu.

21 Februari 1972
Tajuddin Saman, Teluk Anson